Thursday, May 12, 2011

"KecekaLan hatiNya KeraNa CinTa iLahi"

perjaLanan Makkah ke MadiNah..
Ayahandanya akan berangkat ke Madinah. Apa yang harus dilakukannya? Didorong oleh jiwa yang sentiasa mencari-cari sesuatu untuk disumbangkan untuk agama Allah, Asma' lantas menyediakan makanan dan minuman buat bekalan mereka itu. Diletakkannya makanan ke dalam sebuah karung, manakala air minuman pula di dalam sebuah bekas yang lain. Ketika hendak mengikatnya puas dia mencari-cari, namun tidak ditemuinya sebarang tali untuk digunakan. Tanpa teragak-agak lantas dipotong tali ikat pinggangnya menjadi dua untuk mengikat kedua-dua bekas itu.

Pengorbanannya itu, biarpun kecil, telah mendapat perhatian Rasulullah SAW. Baginda lantas mendoakan agar Allah menggantikan ikat pinggang yang lebih baik dan indah di Syurga. Sejak itu, Asma' mendapat gelaran Dzatin Nithaaqainyang bermaksud "wanita yang mempunyai dua ikat pinggang."

Peristiwa tersebut berlaku ketika Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar as Siddiq memulakan perjalanan untuk berhijrah ke Madinah. Mereka telah dikejar oleh orang-orang kafir Quraisy lalu bersembunyi di Gua Tsur. Dalam kesunyian malam yang gelap pekat, berjalanlah Asma seorang diri mengharungi padang pasir tandus, berkorban untuk Rasul dan ayahandanya yang dicintai bagaikan tidak mengenal lelah. Meskipun terpaksa menghadapi ancaman musuh, bersembunyi-sembunyi dia menghantar makanan untuk mereka. Pernah dia ditampar oleh Abu Jahal hingga tercabut anting-antingnya, namun untuk memberitahu di mana tempat persembunyian Rasulullah SAW dan ayahandanya itu tidak sekali-kali.

Selepas pemergian Rasulullah dan ayahandanya itu, datanglah datuknya, Abu Qahafah yang masih belum memeluk Islam. Si datuk yang buta matanya, datang menemui cucu-cucu perempuannya untuk melahirkan rasa simpati.
"Ayahmu telah meninggalkan beban kesusahan ke atas kamu dengan membawa kesemua wang miliknya."
"Tidak, wahai datukku," ujar Asma, cuba mententeramkan datuknya itu. "Janganlah bimbang, ayah telah meninggalkan wang yang banyak." Segera dicapainya tangan datuknya lalu diletakkan ke atas bekas yang sarat berisi. Tenteramlah hati si datuk. Sesungguhnya hamba yang dekat hatinya dengan Allah, tindakannya akan sentiasa terpandu.

Sepertimana saudara perempuannya Sayidatina Aisyah, Asma' cekap dalam mengatur tindakan. Rupa-rupanya sebelum itu lagi dia telah sedia mengumpulkan kerikil dan meletakkannya di satu tempat di mana ayahandanya biasa menyimpan wang. Batu-batu itu ditutup pula dengan sehelai kain hingga datuknya tidak dapat mengesan muslihatnya itu, bahawa apa yang disentuhnya itu hanyalah ketulan kerikil.

Ketika tiba gilirannya untuk berhijrah, Asma' sedang sarat mengandung, hanya menunggu masa untuk melahirkan. Namun, segala penanggungan tidak lagi terasa demi keinginan yang tinggi untuk mengikuti jejak Rasulullah dan ayahandanya ke Madinah. Asma' dengan tabah menempuh kesulitan di sepanjang perjalanan yang jauh dan membahayakan itu.

Setelah sampai di Quba', dia pun melahirkan bayi lelakinya, Abdullah bin Zubair. Kaum muslimin mengucapkan takbir dan tahlil menyambut kelahiran bayinya, sebagai tanda gembira dan bersyukur kerana ternyata, Allah telah menunjukkan kuasanya mengatasi hamba-hamba-Nya yang kufur dan membela hamba-hamba-Nya yang beriman.

Sihir yang ditujukan oleh orang-orang Yahudi bertujuan menghapuskan zuriat orang-orang mukmin, ternyata tidak memberi apa-apa bekas terhadap kandungan Asma'. Bahkan bayi kaum muhajirin yang pertama lahir di Madinah itu lahir dalam keadaan sihat dan normal.

No comments:

Post a Comment